Kaedah Penyediaan Kenyataan Akhbar

advertisement

by Jackson Sawatan on November 12, 2007

Semasa bertugas di Sabah, saya sering menerima undangan untuk menyampaikan ceramah berkaitan profesion yang saya ceburi. Antaranya termasuk satu bengkel pada tahun 2004. Walaupun sudah agak lama berlalu, beberapa butiran daripada kertas kerja yang saya bentangkan masih lagi releven. Berikut adalah kertas kerja berkenaan:

KAEDAH PENYEDIAAN KENYATAAN AKHBAR
Oleh Jackson Sawatan

PENDAHULUAN

Ia dikenali dengan banyak nama – siaran akhbar, kenyataan akhbar, keluaran akhbar, news release, press release dan sebagainya – tapi walau apapun gelarannya, ia adalah sama sahaja. Ia adalah siaran untuk akhbar. Ia mempunyai maklumat yang ingin disampaikan oleh individu, kumpulan orang, organisasi, syarikat, badan bukan kerajaan, penganjur acara, dan sebagainya, untuk disiarkan di dalam akhbar.

Ada masanya siaran akhbar ini tidak tersiar tetapi pada amnya, ia mendapat tempat di akhbar-akhbar – sama ada disiarkan sepenuhnya atau mengalami proses suntingan atau penulisan semula. Pada hari-hari yang “kering” dengan berita atau ketiadaan acara yang perlu diliputi, atau isu yang perlu disusuli, siaran akhbar antara yang ditunggu-tunggu kerana ia banyak membantu organisasi media untuk mendapatkan berita.

DUA BENTUK SIARAN AKHBAR

Pada amnya, ada dua bentuk siaran akhbar. Pertama, siaran akhbar yang sudah siap ditulis dalam bentuk berita. Lihat Contoh A.

Kedua, siaran akhbar yang hanya mengandungi pernyataan pendapat, reaksi atau kenyataan umum mengenai sesuatu perkara. Ia tidak ditulis dalam format penulisan berita. Lihat Contoh B.

Kedua-duanya boleh diterima oleh editor. Bagaimanapun Contoh A lebih memudahkan kerja-kerja editor kerana kenyataan itu boleh terus disalin tanpa banyak perubahan.

Sebaliknya dalam Contoh B, editor atau wartawan yang memproses siaran akhbar itu perlu membuat tafsiran dan kemudian membuat keputusan mana satu perkara dalam kenyataan itu yang perlu dijadikan “intro” dalam berita. Tiga “intro” boleh dibuat berdasarkan kenyataan akhbar itu, iaitu:

A. PPM menyambut baik pelantikan Ketua Menteri baru.
B. PPM yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri baru.
C. PPM berikrar memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri baru.

Sekiranya kenyataan dalam Contoh B itu mempunyai beberapa perenggan atau melebihi satu mukasurat, maka lebih rumitlah proses untuk mencari mana satu perkara yang perlu diletakkan dalam intro.

APA BEZANYA SIARAN AKHBAR DAN NOTA KEPADA PENGARANG?

Editor juga sering menerima “nota kepada pengarang” atau “nota kepada editor.” Biasanya siaran akhbar seperti ini mempunyai dua kemungkinan. Pertama, maklumat yang dinyatakan dalam nota itu boleh disiarkan dan kedua, nota itu hanya untuk makluman kepada editor dan bukan untuk siaran.

Bagaimanapun, ada kalanya maklumat yang terkandung dalam nota itu mempunyai unsur berita dan editor berpendapat ia perlu disiarkan – tindakan yang mungkin tidak disetujui oleh mereka yang mengeluarkan kenyataan akhbar itu. Lihat Contoh C.

Dalam Contoh C, maklumat mengenai pelantikan Pemangku Presiden yang terkandung dalam nota itu merupakan “berita panas” yang akan pasti menjadi bahan siaran berita. Dalam hal ini, sekiranya pihak yang mengeluarkan nota itu tidak mahu apa-apa hebahan mengenai maklumat yang ada dalam nota itu, beliau bolehlah memasukkan perkataan “BUKAN UNTUK SIARAN” . Atau lebih selamat lagi, tidak perlu sebut soal pelantikan Pemangku Presiden.

PERKARA-PERKARA YANG MESTI ADA DALAM SIARAN AKHBAR

Sesuatu siaran akhbar perlulah mempunyai butir-butir berikut untuk membolehkan ia mendapat perhatian sewajarnya daripada editor: Maklumat itu adalah seperti berikut:

1. Nama dan alamat pihak yang mengeluarkan kenyataan akhbar itu. Ini penting kerana kenyataan akhbar tanpa nama pihak yang mengeluarkannya hanyalah ibarat “surat layang” yang mungkin menimbulkan risiko besar sekiranya disiarkan.

2. Nombor telefon, faks dan e-mail yang boleh dihubungi. Ada masanya sesuatu siaran akhbar itu memerlukan penjelasan lanjut barulah ia dapat disiarkan. Oleh itu adalah penting untuk wartawan dapat menghubungi semula orang yang menulis kenyataan akhbar berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

3. Tandatangan mereka yang mengeluarkan siaran akhbar sebagai pengesahan.

4. Siaran akhbar hendaklah mempunyai nilai berita dan lengkap. Sesuatu siaran akhbar hendaklah dapat menjawab persoalan mengenai 5W 1H (what, when, where, who, why dan how) (apa, bila, di mana, siapa, kenapa dan bagaimana).

5. Nyatakan bila siaran akhbar itu boleh digunakan. Jika ia boleh disiarkan pada hari itu juga, nyatakan “Untuk Siaran Segera” atau “For Immediate Release”. Jika untuk siaran pada hari lain, letakkan “embargo” atau batasan masa. Misalnya “Embargo: Untuk Siaran Selepas Jam 8 Malam Ini, 16 Mac 2003” atau “Embargo: Untuk Siaran Isnin, 17 Mac” dan nyatakan masa siaran jika perlu.

6. Taipkan siaran akhbar atau jika dengan tulisan tangan ia mestilah jelas. Akhbar tidak akan dapat menyiarkan siaran akhbar yang tidak dapat dibaca.

7. Pastikan ejaan nama dan jawatan adalah betul.

8. Pastikan fakta adalah betul dan sahih. Jika tidak, risikonya akan ditanggung oleh pihak yang mengeluarkan kenyataan, akhbar yang menyiarkannya dan orang yang disebut dalam kenyataan akhar.

9. Tidak terlalu panjang. Memadailah 400-500 perkataan.

10. Kenyataan akhbar hendaklah sampai awal di meja pengarang, seelok-eloknya sebelum 4 petang. Ini bagi memberi masa untuk menulisnya atau untuk mendapatkan maklumat tambahan, atau bagi televisyen, untuk membolehkan visual perlu diperolehi. Bagaimanapun berita gembar yang berlaku pada saat akhir boleh dihantar pada lewat petang atau malam.

11. Nyatakan “dateline”, iaitu dari mana berita itu ditulis.

APA YANG BERLAKU KEPADA SESUATU SIARAN AKHBAR?

Sesuatu siaran akhbar akan mengalami nasib berikut:

1. Disiarkan sepenuhnya kecuali satu atau dua perubahan format mengikut “gaya penerbitan” sesuatu akhbar.

2. Disiarkan dengan beberapa sahaja perubahan (maklumat yang dirasakan penting dijadikan intro).

3. Disiarkan lebih ringkas kerana batasan ruangan dalam akhbar.

4. Disiarkan selepas mendapat pengesahan daripada pengirim.

5. Disiarkan selepas mendapat maklumat tambahan daripada pengirim.

6. Disiarkan oleh sesebuah akhbar tetapi tidak di akhbar yang lain.

7. Tidak disiarkan kerana ia disimpan untuk berita susulan atau sebagai bahan kepada satu rencana, laporan khas, analisis berita atau fokus berita.

8. Tidak disiarkan kerana maklumat pengirim tidak lengkap.

9. Tidak disiarkan kerana dihantar lewat.

10. Tidak disiarkan kerana ia berunsur iklan.

11. Tidak disiarkan kerana kecuaian pihak media (e-mel tidak disemak, faks tidak diteliti, dsb)

12. Tidak disiarkan kerana pihak yang mengeluarkannya tidak mempunyai locus standi, misalnya ahli sesuatu bahagian mengeluarkan kenyataan atas pihak parti tanpa keizinan daripada kepimpinan.

13. Tidak disiarkan kerana mempunyai risiko (ingat Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi, dsb)

14. Tidak disiarkan kerana tiada nilai berita.

BEBERAPA TOPIK YANG BOLEH DIJADIKAN SIARAN AKHBAR

Berikut beberapa cadangan topik yang boleh dijadikan siaran akhbar dari semasa ke semasa:

1. Hasil kajian mengenai sesuatu isu di tempat tertentu

2. Keluarkan laporan tahunan, laporan kegiatan dan sebagainya

3. Aturkan temubual dengan pemimpin dan proses sebagai siaran akhbar

4. Ambil bahagian dalam isu kontroversi

5. Buat analisis mengenai sesuatu isu

6. Pembentukan dan pengumuman sesuatu jawatankuasa

7. Perayaan ulangtahun

8. Pembentangan usul di sesuatu persidangan

9. Mulakan debat mengenai sesuatu isu

10. Pemeriksaan terhadap sesuatu projek

11. Keluarkan kenyataan protes

12. Keluarkan kenyataan sokongan

13. Reaksi isu semasa

14. Keluarkan siaran akhbar mengenai ucapan pemimpin yang bernilai berita tetapi tiada wartawan yang datang membuat liputan (Bagaimanapun, perlu berhati-hati dengan kenyataan “off the record” kerana ada bahagian dalam ucapan itu yang mungkin hanya untuk makluman ahli dan bukan untuk siaran)

15. Peristiwa menarik di sesuatu tempat

16. Hasil mesyuarat di bahagian-bahagian

17. Masalah yang dikemukakan penduduk dan apa yang dilakukan untuk mengatasinya

18. Potensi sesuatu kawasan daripada segi pelancongan, ekonomi, dsb

19. Jawab persoalan yang ditimbulkan oleh pihak lain mengenai parti

20. …dan sebagainya

PENUTUP

Akhir kata, adalah penting untuk mempunyai kenalan yang bertugas di sesebuah organisasi media, khususnya editor atau ketua biro. Menghantar siaran akhbar terus kepada editor akan menjimatkan masa. Pastikan juga anda mempunyai maklumat yang cukup sebelum menyediakan siaran akhbar itu.

Apa yang ada dalam kertas kerja ini adalah panduan umum. Diharapkan ia dapat membantu proses penghasilan siaran akhbar.

CONTOH A:

Syarikat XXX Sdn Bhd,
Blok 1 Asia City,
Peti Surat XXXX, XXXXX Kota Kinabalu.
Tel: XXXXX
Fax: XXXXX
E-Mel: XXXXX

Kepada Semua Ketua Editor

KENYATAAN AKHBAR UNTUK SIARAN SEGERA

PEMBENTANGAN LAPORAN PRESTASI KEWANGAN SYARIKAT XXX

KOTA KINABALU, 16 Mac – Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat XXX akan membentangkan laporan prestasi kewangan syarikat bagi sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2003.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini…. (dan seterusnya)

CONTOH B:

PARTI PERPADUAN MALAYSIA (PPM)
Blok 1 Asia City,
Peti Surat XXXX,
XXXXX Kota Kinabalu.
Tel: XXXXX
Fax: XXXXX
E-Mel: XXXXX

Kepada Semua Ketua Editor

KENYATAAN AKHBAR UNTUK SIARAN SEGERA

BERIKUT ADALAH REAKSI PPRSB MENGENAI PELANTIKAN KETUA MENTERI SABAH YANG BARU:

“PPM menyambut baik pengumuman mengenai pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baru. Parti ini percaya beliau mampu memimpin kerajaan negeri dengan berkesan. PPM dengan ini berikrar untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Ketua Menteri yang baru.”

Sekian dan terima kasih.

(NAMA DAN JAWATAN DALAM PARTI)

CONTOH C:

PARTI PERPADUAN MALAYSIA (PPM)
Blok 1 Asia City,
Peti Surat XXXX,
XXXXX Kota Kinabalu
Tel: XXXXX
Fax: XXXXX
E-Mel: XXXXX

Nota Kepada Pengarang

SIDANG AKHBAR PELANTIKAN PEMANGKU PRESIDEN

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa PPM akan mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan pelantikan Pemangku Presiden parti. Butiran sidang akhbar itu adalah seperti berikut:

Tarikh: 20 Mac 2003

Tempat: Bilik Mesyuarat PPM

Masa: 2 petang

Dengan ini PPM menjemput wartawan dan jurugambar untuk membuat liputan bagi majlis berkenaan.

Sekian dan terima kasih.

(NAMA DAN JAWATAN DALAM PARTI)

Random Posts

{ 1 comment… read it below or add one }

1 aalwi July 29, 2009 at 6:48 pm

Thanks for the article.

Leave a Comment

Previous post: Myanmar Casts Long Shadow Over Upcoming Asean Summit

Next post: If I Am Writing An Article