Temuramah Dengan Pembikin Filem Amir Muhamad

PEMBABITAN SAYA DALAM profesion kewartawanan membolehkan saya bertemu dengan mereka yang mungkin tidak akan saya temui jika bukan kerana bidang kerjaya yang saya ceburi. Pembikin filem kontroversi, Amir Muhamad, merupakan seorang daripada mereka.

Amir berada di Singapura pada Mac lepas sebagai ahli panel dalam satu majlis anjuran National University of Singapore. Saya berkesempatan menemubual beliau mengenai kontroversi filem dokumentarinya Apa Khabar Orang Kampung. Berikut artikel dari temuramah itu:

Amir Muhamad Gundah Gulana
Oleh Jackson Sawatan

SINGAPURA, 9 Mac — “Gundah gulana,” jawab pengarah filem, Amir Muhamad sambil ketawa apabila diajukan soalan mengenai perasaannya selepas dua filem dokumentarinya diharamkan di Malaysia.

“Rasa gundah gulana, seperti orang terbuang,” katanya.

“Sungguh malang nasib saya,” sambung beliau dengan pelat ala dialog filem Melayu tahun 60an, sambil sekali lagi tergelak.

Walaupun tidak kelihatan sama ada gundah mahupun gulana sepanjang temubual dengan Bernama di sini, Amir, antara pembikin filem generasi baru di Malaysia, mengakui beliau agak kecewa dengan pengharaman filem-filemnya.

Yang terbaru ialah filem dokumentari “Apa Khabar Orang Kampung”, yang merupakan sambungan kepada dokumentari “Lelaki Komunis Terakhir” arahannya tahun lepas, yang diharamkan di Malaysia.

Lembaga Penapisan Filem (LPF) memberikan tujuh sebab pengharaman filem itu, antaranya kerana ia menayangkan kritikan tajam terhadap kerajaan Malaysia kerana menawarkan terma pemulihan yang tidak dapat diterima oleh bekas anggota PKM terbabit.

LPF dijangka mengumumkan keputusan rayuan itu minggu ini.

Amir berkata: “Kalau nak kata pengharaman itu sesuatu yang mengejutkan, tidak juga kerana temanya kita dah lihat mampu mendapat reaksi begini. Saya rasa masih ada peluang 50 peratus (untuk diluluskan)… sebab tak ada perkataan K untuk komunis pada tajuknya. Cuma ada K untuk kampung.

“Jika komunis sesuatu yang membahayakan (dan menyebabkan filem terdahulunya diharamkan), maka kampung adalah sesuatu yang kita akan rasa selesa,” kata beliau.

Filem sepanjang 75 minit itu merakamkan suasana hidup bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang kini menetap di selatan Thailand.

“Ia satu rakaman kehidupan di sebuah kampung, sebahagiannya hasil temubual, sebahagian lagi pemerhatian saya terhadap apa yang mereka lakukan, bagaimana mereka bekerja, bersekolah, tadika dan ada kalanya anda mendengar siaran drama radio sebagai latar belakang,” kata beliau.

Bagi Amir, filem itu adalah wawancara dengan “orang yang amat tua, berumur dalam lingkungan 70an dan 80an”, yang mahu atau tidak, beliau perlu lakukan tanpa bertangguh-tangguh.

“Kalau saya menunggu untuk situasi yang selesa dan ideal, mungkin ketika itu mereka sudah tiada lagi dan saya pun tiada lagi. Jadi sementara peluang itu ada, saya rasa kita mesti buat. Biar apa pun, filem ini sudah siap dan mudah-mudahan akan dapat bertahan,” katanya.

Amir berkata, banyak perkara yang mudah bertukar menjadi kontroversi di Malaysia.

“Tapi kalau kita nak menjangka apa yang boleh menjadi kontroversi dan apa yang tidak, kita akan menjadi amat letih… jadi lebih baik buat sajalah berpandukan kawalan diri kita sendiri.

“Pada saya kalau saya membuat filem, saya nak keluarga saya menontonnya dan saya tak nak membuat sesuatu yang akan membuat mereka terkejut ataupun malu dengan hasil kerja saya. Itulah kawalan diri saya,” katanya.

Amir menjelaskan bahawa kalau mahu menganggap komunis itu sesuatu yang kontroversi, banyak buku ditulis oleh bekas anggota PKM dan ia tidak pula diharamkan.

“Ada dokumentari yang dibuat oleh orang luar tentang subjek ini dan ia tidak diharamkan juga. Jadi adakah itu bermakna sejarah kita hanya berhak diberitahu oleh orang luar?” soalnya.

Amir turut menghantar “Apa Khabar Orang Kampung” untuk tayangan di Festival Filem Antarabangsa Singapura Ke-20 (SIFF) April ini dan sedang menunggu kelulusan untuk tayangan daripada pihak berkuasa republik ini.

Bulan lepas filem itu turut ditayangkan di Festival Filem Antrabangsa Berlin bersama-sama dengan filem Mukhsin arahan Yasmin Ahmad.

Mengenai kemungkinan bahawa filem itu hanya dapat ditayangkan untuk tatapan penonton di negara luar akibat pengharaman di Malaysia, Amir berkata ia bukan sesuatu perkara yang unik dalam industri filem.

“Tapi saya rasa, sayanglah sebab ini sebenarnya cerita orang tempatan dan orang tempatan adalah orang yang akan paling memahami,” jelas beliau, sambil menambah kata bahawa di Malaysia, hanya ada dua filem yang pernah diharamkan dan kedua-duanya adalah filem yang beliau hasilkan.

“Dan kedua-duanya adalah dokumentari. Mungkin satu yang ironik juga. Kita selesa dengan khayalan tapi tidak dengan sesuatu yang nyata.

“Saya rasa ini dapat mengatakan sesuatu tentang pemikiran kita. Kita menganggap dokumentari itu sesuatu yang harus menjadi propaganda, seolah-olah tak ada jenis dokumentari yang lain.”

[Diterbitkan oleh Bernama, 9 Mac 2007]

Random Posts

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)